PETALING JAYA – Seramai 14 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menerima pentauliahan khas profesional daripada Jabatan Mufti Negeri Perak yang membolehkan mereka menyampaikan kuliah profesional di masjid dan surau.
Pentauliahan yang dikenali sebagai Perakuan Profesional Masjid (PPM) itu diberikan selepas kesemua pegawai terbabit berjaya melepasi proses saringan dan penilaian oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Negeri Perak.
Majlis pentauliahan berkenaan diadakan sempena Program Muqabalah Mahabbah dan Majlis Penyampaian Sijil Kebenaran Menyampaikan Kuliah Profesional Negeri Perak Siri 2 Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim di Kompleks Islam Negeri Perak, di Ipoh, semalam.
Pada majlis itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed mendahului senarai penerima pentauliahan, diikuti Timbalan Pengarah Operasi dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak serta beberapa pegawai kanan lain.
Selain pegawai SPRM, seramai 60 lagi peserta daripada pelbagai agensi dan organisasi turut menerima sijil pentauliahan termasuk wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lembaga Tabung Haji, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Perak, As Salihin Trustee Cawangan Perak, mutawwif, penggerak motivasi dan dakwah serta ahli bahasa Arab. – KOSMO! ONLINE














