KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kembali menghidupkan peluang untuk ke pusingan kalah mati pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 selepas melakar kemenangan sulung.
Pada aksi Kumpulan A yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China sebentar tadi, pilihan ketiga itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-18, 21-19 ke atas pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin.
Selepas tewas pada aksi pembukaan kepada Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia, Wei Chong-Kai Wun kembali mendapatkan rentak kemenangan menerusi keputusan tersebut.
“Semalam perlawanan kami agak sukar, jadi hari ini kami memberikan lebih perhatian kepada aspek pukulan dan penerimaan servis. Bulu tangkis juga agak laju hari ini, jadi perlu lebih fokus,” kata Kai Wun kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Justeru, peluang ke separuh akhir kembali terbuka buat beregu No.4 dunia itu, namun mereka juga perlu mengharapkan keputusan perlawanan melibatkan Sabar-Moh Reza pada aksi terakhir peringkat kumpulan esok.
Selain mengharapkan keputusan gandingan Indonesia itu, Wei Chong-Kai Wun juga wajib mencatat kemenangan ke atas beregu No.1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang sudah memenangi dua perlawanan.
“Tahun ini kami kalah empat atau lima kali kepada mereka tetapi dalam beberapa pertemuan terakhir, perlawanan sering berlarutan hingga ke set penentuan. Kami hanya perlu melakukan persiapan terbaik,” ujar Wei Chong. – KOSMO! ONLINE














