KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus mempamerkan aksi konsisten pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China selepas mencatat kemenangan kedua.
Pada aksi Kumpulan A yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sebentar tadi, gandingan No.2 dunia itu menang straight set 21-13, 21-18 ke atas beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.
Turun sebagai pilihan utama, Pearly-Thinaah menunjukkan aksi cukup dominan sebelum mencatat kemenangan, sekali gus meletakkan kedudukan mereka dalam keadaan selesa untuk melangkah ke separuh akhir.
Walaupun sedikit bergelut di penghujung set kedua, namun pemenang pingat emas Sukan SEA 2025 itu berjaya memperkemaskan semula permainan sebelum memastikan kemenangan muktamad dalam tempoh 36 minit.
Selepas ini, naib juara dunia itu akan bertemu satu lagi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima esok bagi aksi terakhir Kumplan A. – KOSMO! ONLINE














