PETALING JAYA – Seorang wartawan CNN Indonesia yang tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan laporan di lapangan dari Aceh, Indonesia susulan bencana banjir besar yang melanda wilayah tersebut.
Wartawan berkenaan menggambarkan situasi getir yang masih dihadapi penduduk apabila bantuan didakwa belum sampai secara menyeluruh, khususnya di kawasan pedalaman dan terasing.
Menurutnya, masih ramai mangsa termasuk kanak-kanak yang tidak mendapat makanan mencukupi walaupun bencana telah memasuki minggu ketiga.
“Setiap hari saya melihat kanak-kanak berdiri di tepi jalan meminta makanan. Ini tidak wajar. Mereka sepatutnya berada di tempat yang selamat, makan makanan berkhasiat, mendapat rawatan kesihatan dan kembali ke sekolah,” katanya dalam nada sebak.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan keselamatan seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) telah dikerahkan, selain usaha berterusan pekerja infrastruktur yang berdepan risiko kemalangan ketika membaiki bekalan elektrik dalam keadaan hujan dan lumpur.
Namun menurutnya, keadaan di beberapa kawasan masih tidak menunjukkan banyak perubahan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.
“Lebih seminggu saya dan rakan berada di Aceh, namun situasinya masih sama,” katanya.
Tambahnya, sebahagian masyarakat Aceh bertindak mengibarkan bendera putih sebagai simbol keputusasaan serta menghantar surat kepada agensi antarabangsa seperti Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memohon bantuan.
Laporan tersebut mengundang reaksi pengguna media sosial yang meluahkan rasa simpati selain memuji keberanian wartawan berkenaan yang disifatkan mempertaruhkan kerjayanya demi melaporkan keadaan sebenar yang berlaku di Aceh. – KOSMO! ONLINE.














