fbpx
Dari kiri Norashikin, Nur Hafizah, Zalihah, Nur Hidayah dan Khairul Mizan menunjukkan detik bahagia mereka dianugerahkan ijazah serta diploma dalam bidang masing-masing ketika ditemui di Kampung Batang Nyamor, Rembau semalam.

‘Walaupun bisu tapi sebab doa mereka kami berjaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Dilahirkan oleh ibu bapa istimewa tidak menghalang empat beradik berjaya dalam pelajaran, malah mereka menamatkan pengajian di universiti awam dan institusi kemahiran.

Kata Nur Hidayah Abu Bakar, 37, yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dalam Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dia tidak pernah malu mempunyai ibu bapa yang bisu, malah mengambil semangat mereka untuk berjaya.

Kata anak sulung itu, didikan ibunya Zalihah Roseh, 70, dan allahyarham bapa, Abu Bakar Abdul Rahman tiada yang kurang walaupun merupakan orang kurang upaya (OKU) pertuturan.

“Sejak kecil lagi, kami sudah terbiasa ditemani ibu serta ayah ketika siapkan kerja sekolah. Waktu mereka bekerja, memang kami duduk rumah atuk, bila malam, mak dan arwah ayah pasti akan semak kerja sekolah atau buku rekod ujian bagi pantau kerja sekolah.

“Mak dan ayah bekerja di kilang ayam tetapi mereka sa­ngat pentingkan pelajaran kami dan sanggup hantar kami kelas tuisyen berbayar di kampung berhampiran untuk latihan Bahasa Inggeris dan Matametik,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di sini, kelmarin.

Selain Nur Hidayah, adik-adiknya turut berjaya melanjutkan pelajaran iaitu Nur Hafizah, 34, graduan cemerlang UiTM dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran sehingga mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Adik ketiganya, Norashikin, 30, pula merupakan graduan Ijazah Sarjana Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM) serta me­rupakan pe­nerima biasiswa kerajaan susulan keputusan cemerlang ketika di matrikulasi dan kini bekerja sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Selangor.

Adik bongsu mereka, Khairul Mizan, 25, memiliki Diploma Kemahiran Malaysia 4 jurusan elektrik serta merupakan lulusan Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia kini bekerja de­ngan sebuah syarikat swasta.

Bercerita lanjut Nur Hidayah berkata, sejak dari kecil mereka berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat ‘pasar’ serta kesemua adik-beradiknya juga sudah memahami hanya dari melihat mimik muka serta pergerakan tangan ibu bapa mereka.

“Kami tiada latihan khusus dalam bahasa isyarat, guna bagi faham saja,” ujarnya.

Arwah ayahnya meninggal dunia 11 tahun lalu, namun ke­gigihan arwah ayahnya tetap menjadi inspirasi terutamanya dalam memastikan dia berjaya dalam perniagaan ayam gunting yang dijalankannya kini.

“Insya-Allah, kami tak pernah malu memiliki ibu dan ayah istimewa bisu serta percaya, kami adik-beradik mampu berada di tahap ini kerana doa mereka. Jika ada peluang, ada antara kami adik-beradik akan menyambung pelajaran lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN