DUBAI – Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan menandatangani secara rahsia perjanjian senjata bernilai AS$2.3 bilion (RM4 bilion) dengan pengeluar senjata Israel, Elbit Systems, lapor laman berita The New Arab semalam.
The New Arab memetik media Perancis, Intelligence Online sebagai menyatakan, perjanjian tersebut diumumkan bulan lalu oleh Elbit Systems, namun identiti pembeli tidak didedahkan kepada umum.
Elbit Systems yang memiliki fasiliti dii United Kingdom dan Eropah, kerap menjadi sasaran protes aktivis pro-Palestin. Syarikat itu membina antara peralatan ketenteraan paling canggih Israel, termasuk sistem tanpa pemandu dan sensor udara.
Menurut Intelligence Online, UAE membeli versi canggih sistem perlindungan pesawat J-Music keluaran Elbit.
Sistem itu menggunakan teknologi laser canggih untuk melumpuhkan penderia peluru berpandu darat ke udara yang dilancarkan ke arah pesawat.
Ia akan dihasilkan di dalam UAE sebagai sebahagian daripada projek bersama yang mendapat kelulusan kerajaan Israel.
Perjanjian itu akan dilaksanakan dalam tempoh lapan tahun dan dianggap sebagai perjanjian senjata kedua terbesar dalam sejarah Israel.
Banyak butiran perjanjian masih dirahsiakan berikutan sensitiviti teknologi pertahanan tersebut. – AGENSI














