fbpx
Gambar hiasan

Tidak puas hati urusan TikTok, pekerja restoran diserang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Seorang wanita dilaporkan menjadi mangsa serangan fizikal dalam kejadian pukul di sebuah restoran makanan segera di Serdang Raya di sini, pada 8 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika pengadu berusia 45 tahun, sedang bekerja di premis berkenaan.

“Pengadu telah didatangi tujuh individu terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan. Daripada kumpulan tersebut, seorang suspek yang dikenal pasti melalui aplikasi TikTok telah menyerang pengadu dengan menumbuk muka sebelah kiri mangsa kira-kira lima kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Farid berkata, akibat serangan tersebut, pengadu mengalami bengkak pada pipi kiri serta luka kecil di bahagian dalam bibir kiri.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berkaitan urusan perniagaan di aplikasi TikTok.

“Suspek yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun telah dipanggil bagi diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Menurut beliau, kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya serta disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan .

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN