SYDNEY – Polis Australia mendakwa suspek tembakan Pantai Bondi, Naveed Akram, dengan tuduhan keganasan, 15 tuduhan membunuh dan pelbagai jenayah lain selepas kejadian tembakan rambang paling dahsyat di negara itu dalam beberapa dekad.
“Suspek akan didakwa di mahkamah kerana terlibat dalam perbuatan yang menyebabkan kematian, kecederaan serius dan membahayakan nyawa untuk mencapai tujuan agama dan menyebabkan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” kata polis negeri New South Wales.
“Petunjuk awal menunjukkan serangan pengganas itu diilhamkan oleh organisasi pengganas yang tersenarai di Australia, Daesh,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa Naveed dan bapanya, Sajid Akram melepaskan tembakan ke arah festival Yahudi di Pantai Bondi yang terkenal di Sydney pada petang Ahad lalu. Ia membunuh 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Naveed cedera parah semasa kejadian tembakan itu, manakala media tempatan melaporkan, dia terjaga daripada koma pada malam Selasa. Sementara itu, Sajid terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.
Polis berkata, Naveed juga didakwa dengan 40 pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seseorang dengan niat membunuh, serta mempamerkan simbol organisasi pengganas yang dilarang secara terbuka.
Dua bendera Daesh buatan sendiri turut ditemukan di dalam sebuah kereta yang didaftarkan kepada Naveed dan diletakkan berhampiran pantai. – AFP














