BANGKOK – Biarpun hanya mengenali sukan silat dalam tempoh dua tahun, pesilat wanita negara, Ummi Mashitah Hassan membuktikan tiada yang mustahil apabila berjaya menghadiahkan pingat emas buat Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.
Dia yang langsung tiada asas seni bela diri sebelum ini kini sah bergelar juara Asia Tenggara selepas menundukkan wakil tuan rumah, Anuntaya Niyompan dengan keputusan 104-88 dalam aksi final Kelas C Puteri (55-60kg) di Arena Impact, Muang Thong Thani.
Lebih mengagumkan, Ummi yang berasal dari Marudi, Miri, Sarawak menegaskan dia bermula dari ‘kosong’ dan hanya menyertai kelab silat di kampung halamannya secara suka-suka sebelum bakatnya digilap sehingga memenangi emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dan kini Sukan SEA dalam penampilan sulungnya.
“Dua tahun lepas saya tidak tahu apa-apa pasal silat, asas pun tiada kerana saya hanya main futsal. Saya cuba nasib masuk kelab silat gayong ghaib di kampung, dari situ baru ada pemilihan wakil Sarawak dan seterusnya ke skuad kebangsaan.
“Alhamdulillah, saya percaya dengan rezeki Allah dan usaha keras dalam latihan. Walaupun tempoh singkat, saya berjaya belajar teknik dengan cepat,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Di sebalik kejayaan gemilang itu, Ummi mendedahkan dia berdepan detik cemas apabila diserang influenza dua hari sebelum acara bermula, menyebabkan berat badannya susut mendadak di bawah had kategori pertandingan.
Situasi perit itu memaksanya ‘bekerja keras’ menaikkan berat badan setiap pagi demi memastikan dia layak bertanding.
“Kesan demam itu berat saya turun mendadak 5kg (sehingga 50-53kg), sedangkan saya perlu berada dalam Kelas C (55-60kg).
“Setiap pagi sebelum sesi timbang berat badan pada pukul 6.30 pagi, saya terpaksa minum tiga botol air dan makan semata-mata untuk menaikkan berat badan agar melepasi syarat kelayakan,” dedahnya.














