fbpx
ANGIE mengakui aspek kekuatan emosi dan mental menjadi kelebihan untuk dia memenangi pingat emas.

Sukan SEA: Angie lupakan persahabatan demi emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Berkongsi pusat latihan yang sama di Thailand bukan alasan buat ratu muay thai negara, Yan Jia Chi untuk menewaskan ‘rakan segurunya’, Thongduang Thanawan dalam aksi final bagi menghadiahkan emas acara wai kru Sukan SEA 2025, semalam.

Dalam aksi di gelanggang keramat Stadium Lumpinee itu, Jia Chi atau lebih mesra disapa Angie mempamerkan aksi memukau untuk menundukkan Thanawan yang juga juara dunia dari Thailand.

Pertembungan final itu sengit memandangkan kedua-dua jaguh wai kru itu mempunyai reputasi cukup hebat di pentas antarabangsa, malah mereka berdua juga merupakan rakan sepelatih yang menuntut ilmu di pusat latihan sama di Universiti Sukan Nasional Thailand (TNSU).

Angie yang juga penuntut jurusan Rekreasi dan Pelancongan di universiti tersebut mengakui, keupayaan mengawal emosi ketika menentang rakan sendiri menjadi pemisah utama kejayaan tersebut.

“Di final, apa yang membezakan saya dengan lawan adalah kekuatan emosi dan mental yang saya miliki. Persaingan sangat sengit kerana kami datang dari pusat latihan yang sama,” katanya.

Di sebalik kejayaan manis itu, Angie mendedahkan dia terpaksa ‘berperang’ dengan kecederaan lutut yang dialaminya sejak 2023, malah bergantung kepada ubat tahan sakit demi meneruskan latihan dan menyertai kejohanan.

Pengorbanannya lebih perit apabila terpaksa berkampung di Thailand selama setahun tanpa pulang ke Malaysia demi memastikan fokusnya tidak terganggu.

“Saya tidak balik ke Malaysia selama setahun, cuma keluar menyertai kejohanan. Jadi, saya anggap kejayaan ini sangat berbaloi.Selepas ini, perancangan saya adalah untuk pulang meraikan kejayaan ini bersama keluarga,” ujarnya.

Sebagai rekod, Angie turut memiliki reputasi hebat di pentas antarabangsa selaku pemenang pingat emas tiga kali berturut-turut dalam Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (U23) anjuran Persekutuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) pada 2023, 2024 dan 2025.

Malah, beliau turut cemerlang di pentas domestik apabila mempertahankan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak bagi kategori Mai Muay duo.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI