PETALING JAYA – Masih ada pihak yang masih berdegil dan gagal mematuhi Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) bagi menyediakan akses lebih lancar di terminal Lapangan Terbang Kuala Lumpur, sehingga dikecam orang ramai.
Walaupun Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mewar-warkan bahawa sistem berkenaan dikuatkuasakan bermula 1 Disember lalu, masih ada yang tidak ambil peduli sehingga didenda RM100.
VAMS memberikan caj percuma untuk pengguna kenderaan menghantar atau mengambil penumpang untuk tempoh kurang 10 minit, tetapi caj penalti dikenakan untuk minit berikutnya.
Menerusi perkongsian video oleh pengguna @Mafisya By Pitjoe di media sosial, jelas memaparkan seorang pemandu kereta dikenakan denda sebanyak RM100 kerana memakir kenderaan di kawasan berkenaan selama 33 minit.
Hantaran berkenaan mengundang pelbagai respon orang ramai yang rata-rata menyokong tindakan yang dikenakan ke atas pemandu berkenaan.
“Eloklah buat begini. Buat semak je laluan ambil dan hantar jadi tempat parkir. Kita nak ambil orang pun susah,” kata seorang pengguna.
“Sejak sistem ni ada terminal tak sesak dengan pemandu sampah yang buat sesak,” komen pengguna yang lain.
“Siapa suruh parkir kereta lama-lama dekat situ. Nak parkir lama, masuk la kawasan parkir,” ujar @Afie.
Terdahulu media melaporkan, bagi tempoh 10:01–15:00, caj penalti adalah sebanyak RM10, 15:01–20:00 (RM30), 20:01–25:00 (RM60), 25:01–30:00 (RM100).
Menurut MAHB menerusi kenyataan, VAMS menggunakan pembaca nombor pendaftaran automatik (license plate readers – LPR) untuk merekod masa masuk setiap kenderaan.
“Tempoh ihsan 10 minit disediakan bagi urusan menghantar atau mengambil penumpang dengan cepat. Skrin digital di lokasi pula akan memaparkan nombor pendaftaran kenderaan yang melebihi had 10 minit.
“Semasa keluar, sistem mengira tempoh keseluruhan kenderaan berada di kawasan itu secara automatik dan kenderaan yang melebihi had akan dikenakan penalti sehingga maksimum RM100,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE
@pitjoe88DENDA Maksimum RM100 di KLIA














