KUALA LUMPUR – Tetap tidak berganjak daripada perjuangan untuk mempertahankan rumah tangganya bersama Uqasha Senrose, pelakon Kamal Adli dalam masa sama bertegas tidak akan membuat sebarang kenyataan atau tindakan bodoh yang akan akhirnya makan diri sendiri.
Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli menjelaskan apa jua situasi sepanjang prosiding permohonan perceraian oleh isteri hanya akan berlandaskan saluran dan prosedur sepatutnya.
Menurutnya, tindakan dilakukan kini adalah dengan terus mempertahankan perkahwinan mereka dengan menggunakan saluran yang betul iaitu di mahkamah.
“Hari ini saya cuma dengar apa hakim akan cakap (keputusan), saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku di dalam (kamar).
“Saya akan pertahankan selagi mana mampu, ikut prosedur, saya tetap berjuang untuk anak. Ruang saya (bersuara) hanya di mahkamah.
“Untuk berjumpa Uqasha sudah tiada peluang,” katanya ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pukul 10.15 pagi.
Mengenakan sut gelap lengkap bersongkok, aktor berusia 39 tahun itu ditemani peguamnya, Abdul Hadi Mohamad Salleh bagi mengikuti prosiding keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Pada masa sama, Kamal turut meluahkan kegembiraan apabila berpeluang bertemu anaknya, Hawra Uqaira.
“Saya ‘happy’ baru dapat jumpa anak beberapa lalu,” ujarnya yang tampak tenang.
Sementara itu, isterinya, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, tiba di mahkamah beberapa minit kemudian diiringi peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian.
Pelakon terbabit yang memakai jubah ungu turut ditemani ibunya, Rosmizai Mohd Noor, selain adik lelakinya.
“Doakan yang baik-baik,” katanya ringkas ketika disapa media.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.
Permohonan cerai berkenaan dibuat Uqasha pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.
Sehubungan itu, prosiding seterusnya untuk kes cerai mereka ditetapkan mahkamah hari ini sebagai tarikh baharu.
Prosiding sebutan pertama kes perceraian Kamal dan Uqasha di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, berjalan pada 22 Oktober lalu.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, 19 bulan. – KOSMO! ONLINE














