NEW DELHI – Sejumlah pelancong yang mengunjungi kawasan pergunungan popular di negeri Himachal Pradesh, Manali mendakwa mereka ditipu pemandu pelancong yang menjanjikan aktiviti luncur salji di salah satu lokasi tersebut, lapor laman berita Hindustan Times semalam.
Sebaliknya, apa yang ada adalah tompokan salji diambil dari lokasi lain, dengan keadaan sekeliling dipenuhi tanah dan batu.
Dalam satu video dimuat naik di laman Instagram, seorang pelancong bernama Atul Chauhan berkata, mereka ditipu dengan dibawa ke tempat yang tidak bersalji.
“Akhir sekali, izinkan saya tunjukkan bagaimana salji turun di Manali. Lihat di hadapan anda. Mereka ini mengangkut salji dengan lori dan meletakkannya di sini, dan kemudian menyuruh orang ramai melakukan aktiviti di atasnya,” kata Atul.
Video itu menunjukkan kawasan kecil yang dilitupi tompokan salji dan dikelilingi oleh tanah kosong dan batu, dengan pelancong berkumpul untuk bermain ski serta bergambar.
Tiada salji semula jadi kelihatan di kawasan lebih luas yang dirakam dalam klip itu, sebaliknya cuma tanah berbukit.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen pengguna media sosial yang berasa lucu melihat keadaan tersebut.
“Salji (fros) di dalam peti sejuk saya lagi banyak,” kata seorang netizen.
“Saya rasa sangat malu dengan hanya menonton video ini,” kata pengguna media sosial lain.
Manali biasanya menerima salji yang konsisten antara akhir Januari hingga Februari, namun keadaan ketika Disember sering tidak menentu. – AGENSI














