fbpx
PEMANAH negara, Aiman Syafiq Mohd Tariki (dua kanan) beraksi dalam acara compound berpasukan akhir pada Sukan SEA Thailand 2025 di Sports Authority of Thailand di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Panahan emas trio compound kecewakan Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Panahan emas trio memanah compound negara akhirnya menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila cemerlang menundukkan pemanah tuan rumah, Thailand, dengan keputusan 232-229 untuk merangkul kemenangan di Sukan SEA 2025, sebentar tadi.

Gandingan mantap Mohd. Juwaidi Mazuki, Muhammad Aiman Syafiq Mohd. Tariki dan Alang Ariff Aqi Muhammad Ghazalli mempamerkan ketenangan luar biasa untuk menyerap tekanan sorakan padu penyokong Gajah Perang di Lapang Sasar Memanah Sport Authority.

Dalam aksi final yang cukup sengit, kedua-dua pasukan terikat 57-57 pada set pertama sebelum Malaysia memecah kebuntuan pada set kedua apabila mencuri tiga mata penting untuk mendahului 116-113.

Kelebihan itu terus dipertahankan dengan cemerlang pada dua set terakhir (59-59, 57-57) untuk memastikan kilauan emas menjadi milik kontinjen negara, sekali gus mengatasi tuan rumah.

Kemenangan tersebut cukup manis kerana ia bukan sahaja dilakar di laman lawan, malah menebus kehampaan skuad negara yang sekadar membawa pulang pingat perak dalam acara sama pada edisi Sukan SEA di Hanoi 2021. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI