fbpx
BLACK dan Eddie buat pertama kali bersemuka dengan media selepas pengunduran mereka daripada Wings sekitar Oktober lalu.

‘Orang mungkin kata kami bodoh, setiap manusia ada had’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiada dendam, bekas anggota Wings, Black dan Eddie mengakui keputusan mengundurkan diri daripada kumpulan rock legenda itu dibuat selepas pertimbangan panjang demi kesejahteraan diri.

Ujar Black, keputusan berkenaan bukan tercetus secara terburu-buru, sebaliknya diperincikan setiap aspek bersama Eddie selepas masing-masing menyedari batas kemampuan sendiri, sekali gus memohon maaf kepada peminat sejati kumpulan terbabit.

“Saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki kerana menghampakan peminat Wings.

“Bukan saya dan Eddie tidak mahu terus berkarya bersama Wings, cuma keadaan tidak mengizinkan, terutama ketika konsert ulang tahun ke-40 tempoh hari.

“Kami tidak buat keputusan tergesa-gesa. Setiap manusia ada had, pada satu tahap saya sendiri rasa sudah tidak mampu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Paling penting kata Black, pengunduran mereka bukan berpunca konflik peribadi, sebaliknya ketidakserasian untuk terus bekerjasama, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kebersamaan minda dan jiwa.

“Tiada dendam, tiada pergaduhan. Kami pun gembira mereka berjaya jayakan konsert 40 tahun dengan penuh meriah.

“Tak wujud istilah jernih atau keruh, cuma kami sudah tidak boleh bekerjasama.

“Orang mungkin kata kami bodoh sebab lepaskan duit, tapi bila melibatkan kehidupan dan jiwa, kami terpaksa buat keputusan untuk diri sendiri,” ujarnya pada sidang media Konsert Pentas Barbarik Vol. 2 di sini, malam tadi.

Tambah Black, muzik menuntut kejujuran dan keikhlasan, bukan sekadar hadir di pentas atas dasar keterpaksaan.

“Main muzik tak boleh hipokrit. Kalau buat persembahan tanpa jiwa, itu menipu diri sendiri dan peminat.

“Sebelum keadaan jadi lebih rumit dan menjejaskan semua pihak, kami pilih untuk berundur.

“Anggota Wings sekarang semua hebat dan berkaliber. Saya dan Eddie doakan perjalanan mereka terus lancar,” luahnya.

Sementara itu, Eddie turut mengakui keputusan tersebut dibuat secara bersama selepas menilai pelbagai sudut demi kebaikan semua pihak.

“Keputusan ini kami buat bersama. Kita hanya mampu merancang, Tuhan menentukan segalanya,” tuturnya ringkas.

Black turut berharap peminat dapat memahami situasi sebenar dan tidak melihat pengunduran mereka sebagai satu pengkhianatan.

“Saya tak mahu berpura-pura gembira sedangkan jiwa tidak menikmati apa dilakukan.

“Saya juga tak sanggup berdepan peminat dengan persembahan separuh hati selepas mereka membeli tiket dan meletakkan harapan tinggi,” tegasnya

Untuk rekod, Black dan Eddie mengumumkan pengunduran daripada Wings pada 8 Oktober lalu, sekali gus tidak terlibat dalam konsert ulang tahun ke-40 kumpulan itu.

Selepas penarikan diri mereka, Wings kini diterajui Datuk Awie (vokal), Syam (gitar utama) dan Edrie Hashim (gitar irama), meneruskan legasi kumpulan rock tersohor tanah air itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN