WASHINGTON – Nilai bersih bilionair terkaya dunia, Elon Musk mencapai angka mengejutkan iaitu mencecah AS$648 bilion (RM2.6 trilion), lapor akhbar New York Post semalam.
Angka itu lebih dua kali ganda kekayaan individu kedua terkaya, malah mengatasi nilai beberapa syarikat di Amerika Syarikat (AS).
Menurut senarai Bloomberg Billionaires Index semalam, kekayaan Musk meningkat sebanyak AS$178 bilion (RM727 bilion) hanya dalam tempoh dua hari.
Keuntungan tahunannya setakat ini mencatat rekod AS$216 bilion (RM883 bilion) apabila para pelabur menyambut baik ujian teksi pandu sendiri Tesla di negeri Texas.
Ini bermakna pengasas syarikat kenderaan elektrik Tesla dan firma aeroangkasa SpaceX itu memperoleh lebih banyak kekayaan dalam masa kurang setahun berbanding keseluruhan aset bilionair Bernard Arnault iaitu AS$205 bilion (RM838 bilion) yang memiliki syarikat pengeluar barangan mewah.
Pegangan 12 peratus Musk dalam Tesla, yang bernilai kira-kira AS$200 billion (RM817 bilion), membantu meningkatkan kekayaannya ke tahap baharu semalam.
Laporan bahawa SpaceX telah menggandakan penilaiannya sejak musim panas 2025 kepada jumlah mengejutkan AS$800 bilion (RM3.2 trilion) melalui penjualan saham sekunder juga menyumbang kepada peningkatan kekayaan tersebut.
Syarikat pelancaran roket itu menyasarkan penyenaraian awam permulaan (IPO) pada separuh kedua 2026, demikian menurut portal berita The Information. – AGENSI














