REMBAU – Mayat dalam beg yang ditemukan ditanam di belakang sebuah rumah di Batu 4, Pedas, di sini, hari ini dipercayai individu yang dilaporkan hilang di Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pada 15 Disember lalu, satu laporan polis berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita diterima Balai Polis Ampang.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah pergi ke sebuah rumah di Jalan Pedas – Linggi Rembau. Pemeriksaan di sekitar kawasan rumah tersebut telah mengesan unsur-unsur berlakunya perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu beg mengandungi mayat seorang perempuan yang ditanam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau.
“Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan usaha mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Alzafny lagi, prosedur bedah siasat akan dijalankan esok dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline ibu pejabat polis daerah rembau di talian 06-6852222.- KOSMO! ONLINE














