KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu kembali melonjak kepada 708 mangsa daripada 199 keluarga berikutan bah yang menjejaskan Kemaman sebelum ini telah merebak ke daerah bersebelahan, Dungun.
Mereka kini berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah tersebut.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Kemaman kekal daerah paling terjejas melibatkan 503 mangsa daripada 140 keluarga.
“Mereka berada di sembilan PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor.
“Selain itu PPS juga dibuka di Dewan Orang Ramai Batu 14, Dewan Ketengah Dadong, Masjid Kampung Batu 16 Tebak dan Dewan Semai Bakti Felda Neram 2,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBNT berkata, Surau Blok 28, Kampung Baru Felda Neram 2 dan SK Lembah Jabor juga masih beroperasi sebagai PPS.
Beliau berkata, seramai 205 mangsa daripada 59 keluarga pula berlindung di dua PPS di Dungun.
“Dua PPS tersebut ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir,” katanya. – KOSMO! ONLINE














