fbpx
Gambar hiasan.

Luruan monsun berterusan, risiko banjir tinggi hingga Mac 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Risiko kejadian banjir dijangka kekal tinggi susulan luruan monsun timur laut yang sedang berlaku ketika ini, khususnya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, taklimat ringkas berhubung status banjir dan perkembangan luruan monsun telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menurutnya, hujan lebat berterusan dijangka memberi kesan kepada beberapa negeri termasuk Kelantan hingga Johor dalam tempoh terdekat.

“Pada ketika ini, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan sedang berada di Kuantan bagi meneliti situasi banjir di kawasan terlibat.

“Lawatan itu bertujuan memastikan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS), khususnya yang melibatkan penggunaan sekolah, berjalan lancar selain memastikan persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak tergendala,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Auditorium Seri Angkasa, Kompleks Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, kehadiran Timbalan Perdana Menteri di lokasi terjejas adalah bagi memantau keadaan semasa serta menggerakkan segala keperluan berkaitan bagi menangani isu banjir dengan segera.

Dalam pada itu, katanya, Perdana Menteri turut memberi peringatan bahawa luruan keempat monsun timur laut dijangka berterusan dengan tiupan angin kencang serta hujan lebat sehingga Mac 2026.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka, mematuhi amaran cuaca serta mengikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI