SHAH ALAM – Seorang lelaki mati ditetak dalam pergaduhan di kawasan Taman Sentosa, Klang dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.10 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan melibatkan seorang mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 34 tahun yang dipercayai telah ditetak sehingga menyebabkan kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-6650895 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222,” jelasnya.
Terdahulu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai berkumpul di lokasi kejadian, manakala mangsa dilihat terbaring tertiarap di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














