fbpx
Fahmi pada sidang akhbar mingguan, di Kompleks Angkasapuri Kota Media, hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON

Kenyataan lama ahli politik perkara biasa – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mengingatkan semula kenyataan lama seseorang ahli politik adalah perkara biasa dalam landskap politik negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu turut melibatkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu dilantik, Adam Adli Abdul Halim, susulan pelbagai komen dan sindiran berkaitan kenyataan terdahulu beliau menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Dalam bidang politik, mana-mana ahli politik lazimnya akan diingatkan dengan kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini. Itu satu kebiasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Auditorium Seri Angkasa, Kompleks Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Fahmi turut mengaitkan situasi berkenaan dengan pengalaman pemimpin lain, termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sering diingatkan tentang kenyataan lama beliau sebelum ini.

Menurutnya, pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi memberi ruang lebih luas kepada beliau untuk melihat secara lebih realistik kaedah terbaik melaksanakan hasrat yang pernah disuarakan, khususnya dari sudut kewangan dan keupayaan pelaksanaan.

“Dalam menggalas tanggungjawab baharu ini, beliau akan dapat menilai sama ada perkara yang disebut sebelum ini mampu dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya.

Fahmi berkata, kerajaan ketika ini telah melaksanakan beberapa inisiatif menerusi PTPN termasuk pelepasan bayaran balik pinjaman kepada peminjam yang layak daripada golongan B40.

“Sebahagian penerima bantuan PTPTN yang memenuhi syarat, khususnya daripada kumpulan B40, telah diberikan pelepasan bayaran balik. Ini adalah antara usaha kerajaan ke arah meringankan beban rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan juga mengambil maklum jumlah hutang keseluruhan pinjaman PTPTN yang masih tinggi.

Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan peminjam PTPTN agar bertanggungjawab melunaskan hutang masing-masing.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan mereka yang pernah membuat pinjaman PTPTN supaya memastikan bayaran balik diselesaikan sekiranya masih mempunyai tunggakan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Adam Adli berdepan kritikan dan sindiran netizen susulan pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, dengan sebahagian pihak membangkitkan kenyataan lama beliau sebelum menyertai pentadbiran kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN