JOHOR BAHRU – Kegiatan licik sebuah kilang komponen komputer menggaji warga asing secara haram dapat dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menerusi Ops Mahir dijalankan di kawasan Perindustrian Tebrau, kelmarin.
Dalam serbuan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bermula kira-kira pukul 7 malam itu, seramai 356 warga asing diberkas.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dilancarkan hasil risikan berprofil tinggi selepas pihak berkuasa mengesyaki kilang berkenaan menjadi ‘syurga’ pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja tanpa dokumen perjalanan serta pas kerja sah.
“Kehadiran mengejut pasukan penguat kuasa mencetuskan kekecohan apabila sekumpulan pekerja asing bertempiaran cuba meloloskan diri melalui pintu belakang dan laluan kecemasan kilang bagi mengelak dicekup.
“Namun, strategi pantas Imigresen dan AKPS yang menutup semua laluan keluar masuk berjaya memerangkap mereka, sekali gus menamatkan cubaan melarikan diri dalam masa singkat.
“Seramai 356 warga asing berusia antara 18 hingga 46 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Rusdi berkata, PATI yang diberkas terdiri daripada 246 lelaki warga Myanmar, lelaki Bangladesh (26), lelaki India (22), lelaki Pakistan (3), masing-masing seorang lelaki Filipina serta Nepal.
Turut dicekup ialah 53 wanita Myanmar, seorang wanita Nepal serta tiga wanita Indonesia.
Beliau menambah, dua warga tempatan yang merupakan pegawai sumber manusia kilang terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan mereka dalam mengurus dan melindungi penggajian haram berkenaan.-KOSMO! ONLINE.














