KUALA LUMPUR – Pavilion Bukit Jalil bertukar menjadi ‘gelanggang’ gaya hidup pintar apabila Haier Malaysia membuka tirai Haier Global Fans Festival ke-7 semalam, dengan menggabungkan antara teknologi moden dan elemen sukan.
Festival yang berlangsung selama lima hari ini menampilkan ruang interaktif seluas 2,600 meter persegi bagi peminat sukan, komuniti bola sepak serta pengguna Haier berhimpun dan menyemarakkan tema ‘Champion Your Haier Life’.
Antara tarikan utama ialah pengunjung berpeluang menyertai aktiviti sukan secara langsung seperti badminton, bola sepak dan tenis, selain menikmati ganjaran eksklusif yang ditawarkan sepanjang festival berlangsung.
Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing berkata, sempena festival ini, pihaknya bukan sahaja menghargai kesetiaan para pengguna, malah terus memandang ke hadapan untuk membina kehidupan yang lebih pintar dan hubungan yang lebih kukuh.
“Haier kekal komited untuk terus mendengar keperluan pengguna, berinovasi dan berkembang supaya setiap produk serta pengalaman yang ditawarkan memberi nilai sebenar kepada isi rumah di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Haier Global Fans Festival ke-7 di Pavilion Bukit Jalil, semalam.
Paling mencuri perhatian di festival ini adalah pameran inovasi terbaharu Haier yang mengetengahkan reka bentuk dan teknologi berprestasi tinggi, selari dengan semangat kecemerlangan atlet juara.
Antara produk yang dipertontonkan termasuk peti sejuk Space Fit, mesin basuh-pengering Siri L+, penyaman udara UV Cool Color, TV M80 QD-Mini LED, serta pratonton mesin basuh tiga dram yang akan dilancar tidak lama lagi.
Festival turut dimeriahkan dengan zon demonstrasi produk secara langsung, sesi perkongsian interaktif dan aktiviti bersama pencipta kandungan.
Kemasukan ke festival adalah percuma manakala pelanggan yang berbelanja minimum RM5,000 untuk mana-mana produk Haier sepanjang tempoh festival layak menebus jersi eksklusif pasukan bola sepak terkenal dunia, Liverpool FC.
Sementara itu, penganjuran festival kali ini membawa makna lebih besar apabila Haier menjadi gerakan jenama berskala antarabangsa yang menghubungkan jutaan peminat di seluruh dunia.
Dari sudut prestij jenama, Haier turut mengekalkan kedudukan No.1 kategori Global Major Appliances Brand Retail Volume oleh Euromonitor International selama 16 tahun berturut-turut.
Haier juga merupakan satu-satunya jenama ekosistem IoT yang tersenarai dalam Kantar BrandZ Top 100 Most Valuable Global Brands selama tujuh tahun, selain berada dalam World’s 500 Most Influential Brands selama 21 tahun.
Di Malaysia, Haier menjangkakan pegangan pasaran 11 peratus dengan tahap kesedaran jenama mencecah 93 peratus tertinggi dalam kalangan jenama peralatan rumah dari China.
Produk premium pula menyumbang lebih 38 peratus kepada keseluruhan prestasi Haier di negara ini.- KOSMO! ONLINE














