fbpx
NAZMIZAN menjelaskan perubahan struktur ekonomi, peningkatan teknologi latihan dan tuntutan profesionalisme menjadikan kerjaya atlet lebih mencabar. - GAMBAR HIASAN

Ganjaran buat atlet cemerlang bukan pembaziran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kemenangan ada har­ganya. Dalam dunia sukan, harga itu sering dibayar dengan masa muda, disiplin yang keras, kece­deraan berulang dan masa depan yang tidak menentu. Di sebalik sorakan dan tepukan gemuruh, tersembunyi kehidupan atlet yang penuh tekanan, pengorbanan dan pertaruhan nasib.

Di sinilah persoalan ganjaran menjadi semakin penting. Dalam era sukan moden yang semakin kompetitif, atlet bukan sekadar bersaing untuk nama negara, tetapi berhadapan dengan realiti hidup yang mencabar. Maka, sudah tiba masanya negara melihat kebajikan atlet bukan sebagai isu sampingan, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan nasional.

Seiring dengan perubahan zaman dan peningkatan kos sara hidup, pendekatan terhadap ganjaran dan imbuhan atlet perlu diperbaharui. Sukan pada tahun 2026 tidak lagi dapat dinilai menggunakan perspektif dan logik era 1960-an hingga 1980-an.

Perubahan struktur ekonomi, peningkatan teknologi latihan dan tuntutan profesionalisme menjadikan kerjaya atlet lebih mencabar, kompleks dan mahal untuk dikekalkan. Oleh itu, pemberian ganjaran kepada atlet elitis bukan sekadar penghargaan sementara, tetapi pelaburan jangka panjang bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan negara.

Hakikatnya, atlet hari ini bukan sekadar mewakili negara ke pentas antarabangsa, tetapi profesional dalam industri sukan global yang dianggarkan bernilai lebih AS$600 bilion (RM2.54 trilion) setahun.

Kemenangan mereka bukan sahaja membina reputasi negara, bahkan merangsang penajaan, meluaskan pelancongan sukan dan menggerakkan keseluruhan ekosistem ekonomi. Maka perbincangan tentang ganjaran bukan soal emosi, tetapi strategi nasional.

Namun, kerjaya atlet tidak seperti profesion lain. Kajian, menunjukkan puncak prestasi atlet biasanya antara umur 18 hingga 30 tahun, dan purata kerjaya profesional hanya sekitar 10 hingga 15 tahun.

Dalam tempoh singkat ini, atlet mempertaruhkan kesihatan, masa muda, pendidikan dan kestabilan hidup demi menggalas tanggungjawab negara. Oleh itu, ganjaran tidak wajar dilihat sebagai hadiah bermusim, tetapi sebagai elemen asas kebajikan.

Peranan semua

Jika ditinjau amalan antarabangsa, negara seperti Singapura dan Australia meletakkan kebajikan atlet sebagai sebahagian daripada strategi nasional. Singapura menawarkan antara ganjaran tunai tertinggi dunia kepada pemenang pingat Olimpik, namun pembiayaan tidak hanya bergantung kepada kerajaan ke­rana disokong kuat sektor swasta.

Pendekatan ini membolehkan republik itu mengekalkan kualiti kemudahan sukan dan pemba­ngunan atlet akar umbi tanpa mengorbankan kestabilan fiskal. Australia pula membina sistem sokongan menyeluruh menerusi Australian Institute of Sport (AIS), yang menyediakan elaun, biasiswa pendidikan, rawatan perubatan sukan dan program peralihan kerjaya kepada atlet. Model ini memastikan atlet bukan sahaja berprestasi tinggi ketika bergelar juara, malah bersedia untuk kehidupan selepas persaraan.

Di Asia, Filipina memberikan ganjaran tunai yang besar serta kediaman kepada pemenang emas Olimpik, manakala Korea Selatan menawarkan elaun bulanan seumur hidup kepada atlet yang mencapai kejayaan ter­tinggi. China pula melaksanakan pendekatan berteras negara de­ngan menempatkan atlet bersara dalam jawatan kejurulatihan dan pentadbiran sukan.

Jika dibandingkan dengan semua negara ini, Malaysia sebenarnya tidak ketinggalan jauh. Inisiatif memperkenalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada atlet merupakan satu lonjakan besar dalam sejarah kebajikan sukan negara.

Buat pertama kali, atlet diiktiraf setaraf pekerja profesional yang memiliki jaminan persaraan dan perlindungan kecederaan. Namun langkah ini perlu diperluaskan dalam satu kerangka yang lebih menyeluruh.

Sistem ganjaran negara wajar dibina dalam bentuk gabungan imbuhan tunai sebagai pengiktirafan segera, aset jangka panjang seperti perumahan sebagai jaminan masa depan, serta perlindungan sosial sebagai benteng keselamatan ekonomi.

Namun, usaha ini tidak seharusnya menjadi penamat, sebaliknya titik mula kepada reformasi yang lebih besar dalam membangunkan ekosistem sukan negara. Antara yang perlu dilaksanakan ialah negara perlu mengambil langkah berani de­ngan mewujudkan Dana Kece­deraan Nasional khusus bagi atlet yang mengalami kecederaan serius ketika membela negara.

Kecederaan bukan sahaja menamatkan kerjaya, malah sering menjejaskan kehidupan selepas persaraan. Dana ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi isyarat jelas bahawa negara berdiri bersama atletnya dalam saat sukar.

Skim geran

Tidak ketinggalan, satu lagi pendekatan yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan geran latihan khas melalui kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan badan sukan.

Tidak semua atlet memiliki kelebihan akademik dan mampu belajar sehingga ke peringkat universiti, namun mereka tetap mempunyai potensi besar dalam kemahiran teknikal, kepimpinan dan disiplin kerja.

Melalui skim geran latihan bersasar, atlet boleh diberikan akses kepada kursus kemahiran, latihan vokasional, sijil profesional atau pembelajaran fleksibel yang disesuaikan dengan jadual latihan sukan mereka.

Kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang pendidikan alternatif, malah mempersiapkan atlet untuk menghadapi realiti kehidupan selepas bersara dengan kemahiran yang relevan dan boleh dipasarkan.

Kajian Olympic Stu­dies Centre (2020) menunjukkan atlet yang dibantu dalam fasa transisi lebih stabil dari segi emosi dan produktif dalam komuniti.

Dalam memperkukuh ekosistem sukan, keterlibatan sektor swasta wajar diperluaskan melalui insentif cukai yang munasabah kepada syarikat yang menaja program pembangunan bakat atau menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas atlet.

Negara-negara maju seperti Jepun dan Australia telah membuktikan bahawa sinergi antara kerajaan dan swasta mampu membina sukan berprestasi tinggi tanpa membebankan dana awam semata-mata.

Pada masa yang sama, persepsi masyarakat juga perlu dibentuk semula. Ganjaran kepada atlet sering disalah tafsir sebagai pembaziran sedangkan realitinya ia adalah pelaburan. Negara yang berjaya dalam sukan memahami bahawa kecemerlangan tidak datang secara percuma.

Isu ganjaran atlet perlu dilihat secara lebih rasional dan berasaskan realiti semasa, bukan bersandar kepada tanggapan lama. Dunia sukan telah berubah, dan sistem ganjaran juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Jika negara mahu melahirkan juara yang berterusan, maka sistem kebajikan atlet juga mesti bersifat mampan dan menyeluruh. Kita tidak boleh hanya mengharapkan semangat juang semata-mata tanpa menyediakan jaringan sokongan yang adil kepada mereka yang mengorbankan masa muda demi negara.

Ganjaran yang terancang hari ini merupakan jaminan kepada kejayaan esok.

Nazmizan Muhammad ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
(UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI