KEMAMAN – Seramai 12 sekeluarga termasuk seorang yang terlantar akibat strok berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di belakang rumah mereka di Felda Neram 1, di sini, semalam.
Kejadian tanah runtuh pada 6.57 petang itu berlaku pada kedudukan kira-kira 10 meter dari rumah keluarga terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Mohd .Hafiezul Mohamad berkata, biarpun struktur rumah tidak terjejas, kesemua penghuni diarahkan untuk mengosongkan premis terbabit demi keselamatan.
“Pada mulanya, ahli keluarga tersebut yang terlantar akibat angin ahmar enggan berpindah.
“Begitupun akhirnya dia dan ahli keluarganya yang lain akur mengikut arahan pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.
Mohd Hafiezul berkata, pemantuan pergerakan masih terus dilakukan sebelum kawasan itu benar-benar disahkan selamat. – KOSMO! ONLINE














