PETALING JAYA – “Aifat sempat mengucap di hadapan saya sebelum menghembuskan nafas terakhir.”
Demikian luahan pilu Ahmad Hamada Ayueman, 29, suami kepada wanita penghidap kanser yang disahkan meninggal dunia awal pagi tadi selepas mengalami sesak nafas.
Menurut Ahmad Hamada, isterinya, Siti Nuraifat Bueraheng, 25, atau lebih mesra disapa Aifat, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Isteri tercinta bidadari saya telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mengampunkan dosanya, merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengimbau detik terakhir bersama isterinya, Ahmad Hamada berkata, kenangan itu masih jelas terakam dalam ingatan apabila arwah sempat menghadiahkan senyuman walaupun berada dalam keadaan sukar bernafas.
“Ketika saya sampai di zon merah kecemasan, dia nampak sangat letih dan nafasnya pendek-pendek. Tapi dia masih pandang saya dan senyum. Itu senyuman paling perit pernah saya lihat,” katanya.
Menurutnya, Allahyarhamah turut memaklumkan bahawa dia sudah mengetahui penyakit yang dihidapinya dan menyedari jangka hayatnya tidak panjang.
“Dia cakap perlahan, katanya doktor beritahu hidupnya tak lama. Masa itu hati saya hancur. Saya sebenarnya tahu lebih awal, tapi saya tak pernah sanggup beritahu dia,” katanya.
Ahmad Hamada berkata, walaupun hampir tidak mampu menahan sebak, beliau cuba menenangkan isterinya dengan mengingatkan bahawa hidup dan mati adalah ketentuan Allah SWT.
“Saya genggam tangan dia dan cakap, itu kata doktor, bukan penentuan Allah. Kita ini hamba, hidup dan mati semuanya di tangan-Nya,” ujarnya.
Menurut bapa kepada dua anak itu, selepas doktor memberikan suntikan morfin bagi meredakan kesakitan, beliau duduk di sisi katil isterinya sambil membaca surah Yasin dan beberapa ayat al-Quran sekadar yang termampu.
“Itu sahaja yang saya mampu buat ketika itu. Bukan untuk tunjuk apa-apa, cuma itulah satu-satunya harapan yang saya ada,” katanya.
Tidak lama kemudian, katanya, doktor memanggil beliau ke tepi dan memaklumkan perkembangan terkini mengenai keadaan isterinya.
“Waktu itu saya sedar, ujian ini bukan lagi soal kuat atau tidak, tetapi sejauh mana kita benar-benar berserah kepada takdir Allah,” katanya.
Ujarnya, solat jenazah dijadualkan dilaksanakan selepas solat asar hari ini di Masjid Tok Guru, Bukit Cina, Kelantan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kisah pengorbanan Ahmad Hamada yang sanggup menjual hampir kesemua barangan miliknya termasuk sebuah BMW bagi mengumpul dana rawatan isterinya yang menghidap kanser sarcoma tisu lutut tahap empat sejak tahun lalu.
Penderitaan arwah bermula apabila dia mengalami bengkak kecil di bahagian lutut kanan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada tahun 2021, setahun sebelum pasangan itu mendirikan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE














