fbpx
BAHASA Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan kerana sejarah, fungsi dan keupayaannya. - GAMBAR HIASAN

Baru guna ‘actually’, dah label BM tak standard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONONNYA bahasa Melayu kurang antarabangsa. Tidak cukup komersial, tidak cukup global dan tidak cukup kelas.

Ironinya, pandangan itu diungkap dalam negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak merdeka.

Sadis apabila ada Melayu sendiri terasa diri adalah ‘tinggi’ kerana menggunakan bahasa asing walaupun sekadar actually.

Malaysia aman, damai dan makmur selama berpuluh tahun. Sekolah ada, universiti ada, ekonomi bergerak, pentadbiran berjalan.

Semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai tulang belakang. Tiba-tiba hari ini ada yang mahu bahasa lain dijulang.

Bahasa Melayu bukan muncul secara kebetulan. Ia dipilih sebagai bahasa kebangsaan kerana sejarah, fungsi dan keupayaannya.

Keupayaan paling utama adalah menyatukan sebuah masyarakat majmuk.

Dari zaman Kesultanan Melayu ke era penjajahan sehingga ke meja rundingan kemerdekaan, bahasa ini juga yang menjadi pengikat.

Hujah kerap dibawa konon negara maju tidak bergantung pada satu bahasa. Wahai sahabat, Jepun maju dengan bahasa Jepun.

Korea Selatan dengan bahasa Korea. Perancis dengan bahasa Perancis. Jerman dengan bahasa Jerman.

Tetapi di Malaysia, ada yang percaya kita hanya boleh maju jika bahasa lain diangkat tinggi. Logika atau suatu kepelikan nan nyata?

Justeru, tabik hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bertegas dalam soal bahasa Melayu.

“Kebelakangan ini ada pelbagai suara yang membuat tuntutan berkaitan bahasa.

“Ada yang mahu menekankan penggunaan bahasa Inggeris, ada juga yang menuntut pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)

“Saya nak jelaskan begini. Ini Malaysia. Bahasa Melayu bahasa rasmi,” katanya di hadapan pemberita beberapa hari lalu.

Perdana menegaskan, sesiapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa mesti diingatkan bahawa: “Bahasa rasmi Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ketegasan itu tidak boleh dilabel tidak progresif kerana ketegasan itulah yang membezakan negara dengan ‘pasar malam’

Dalam hal ini, pendirian tegas Perdana Menteri dan pemimpin yang senada waima pembangkang patut dipuji.

Mereka memilih untuk kudus mempertahankan asas negara walaupun tahu keputusan itu mempunyai risiko politik.

Adapun muncullah alasan sijil profesional. Konon sijil profesional tidak guna bahasa Melayu, jadi UEC wajar.

Sijil profesional bukan peperiksaan umum. Ia diambil selepas pendidikan asas, bersifat khusus dan tidak menggantikan sistem pendidikan kebangsaan.

Bahasa Melayu sebenarnya tidak antarabangsa hanya kepada mereka yang tidak mahu berusaha memartabatkannya.

Bagi yang memahami fungsinya, bahasa ini cukup matang untuk sains, teknologi, undang-undang dan pentadbiran.

Yang kurang bukan bahasa Melayu, tetapi kesungguhan kita menggunakan, memperkasa dan mempromosikan.

Kita boleh belajar banyak bahasa, menguasai ilmu global dan bersaing di peringkat antarabangsa tanpa merendahkan bahasa sendiri.

Menolak pengiktirafan UEC bukan soal menutup pintu keterbukaan dan keadilan sosial, tetapi soal menjaga asas negara.

Seperti kata seorang sahabat peniaga berketurunan Cina, “Apa mahu kecoh bahasa apa, boleh ‘kawtim’ cari wang ok maa…” – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN