PETALING JAYA – Timbalan menteri baharu perlu memelihara hubungan baik dengan semua pihak di peringkat kementerian dan agensi serta seluruh lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amanah dan tanggungjawab yang dipikul itu perlu digalas sebaik-baiknya.
“Supaya setiap dasar dan polisi kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, aspek komunikasi penting untuk diperkasakan secara berterusan supaya maklumat yang disampaikan jelas, tepat dan sampai ke semua lapisan masyarakat.
Jelas beliau, ia selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban. – KOSMO! ONLINE














