fbpx
TENTERA Taiwan melakukan ujian tembakan peluru hidup sistem roket HIMARS di Pingtung pada 12 Mei lalu. – AFP

Amerika lulus jualan senjata hampir RM50 bilion kepada Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPEI – Washington meluluskan jualan senjata bernilai AS$11 bilion (RM44.9 bilion)  kepada Taiwan, kata Taipei dalam salah satu pakej senjata terbesar untuk pulau itu bagi mengekang potensi pencerobohan China.

Jualan senjata yang diumumkan hari ini dan masih memerlukan kelulusan Kongres Amerika Syarikat(AS)  itu adalah  yang kedua sejak Trump kembali berkuasa pada Januari lalu, selepas jualan alat ganti dan komponen bernilai AS$330 juta (RM1.3 bilion) pada November 2025.

Stok terbaru yang jauh lebih besar itu menampilkan sistem roket HIMARS, artileri bergerak howitzer, peluru berpandu anti kereta kebal, dron dan peralatan lain, demikian menurut Taipei.

“Ini adalah jualan senjata kedua kepada Taiwan yang diumumkan semasa penggal kedua pentadbiran Trump. Ia  sekali lagi membuktikan komitmen teguh AS terhadap keselamatan Taiwan,” kata kementerian luar Taipei.

Potensi saiz jualan itu hampir menyaingi AS$18 bilion (RM73.5 bilion)  yang dibenarkan di bawah bekas presiden AS,  George W. Bush pada 2001, walaupun ia dikecilkan selepas rundingan komersial.

Bush akhirnya menjual senjata bernilai AS$15.6 bilion (RM63.7 bilion) kepada Taiwan sepanjang lapan tahun memerintah.

Semasa penggal pertama Trump, AS  meluluskan jualan senjata AS$10 bilion (RM40.8 bilion)  kepada Taiwan, termasuk AS$8 bilion (RM32.6 bilion) untuk jet pejuang.

Pakej terbaru itu dijangka akan segera menerima kelulusan Kongres, memandangkan pertahanan Taiwan mendapat sokongan kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang.

Taiwan memiliki industri pertahanan sendiri tetapi pulau itu  jauh ketinggalan dari segi persenjataan dalam konflik dengan China. Oleh itu, Taipei sangat bergantung kepada senjata AS.

Sementara itu, China mengerahkan pesawat tentera dan kapal perang di sekitar perairan Taiwan hampir setiap hari, yang digambarkan oleh penganalisis-penganalisis  sebagai operasi ‘zon kelabu’, merujuk kepada  taktik paksaan yang tidak mencapai skala perang.

Kementerian pertahanan Taipei berkata,  40 pesawat tentera China, termasuk jet pejuang, helikopter dan dron, serta lapan kapal tentera laut  dikesan di sekitar Taiwan dalam tempoh 24 jam berakhir awal semalam.

Pada Selasa lepas, kapal induk ketiga dan terbaru Beijing, Fujian pula  berlayar melalui Selat Taiwan, demikian menurut Taipei. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI