fbpx
AHMAD Zahid dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di Kuantan hari ini

Ahmad Zahid bawa cadangan naikkan bantuan wang ihsan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata akan membawa cadangan menaikkan kadar bantuan wang ihsan banjir (BWI) yang berjumlah RM1,000 untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan bantuan disalurkan lebih bersesuaian dengan keperluan semasa sekaligus meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan jumlah kenaikan bantuan itu sebaliknya berkata ia akan bergantung kepada kemampuan kerajaan.

“Saya pun dapati begitu (kos sara hidup tinggi), jadi saya akan bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri akan datang untuk dapat kelulusan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di sini hari ini.

Terdapat 1,464 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak Isnin.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan, semua mangsa banjir akan menerima BWI sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya, pendekatan itu diambil kerajaan selepas mendapati kebanyakan mangsa banjir memerlukan wang segera untuk kerja membersihkan rumah dan membeli barang keperluan lain.

“Sebelum ini kita agihkan BWI selepas mereka balik dari PPS, sekarang kita serahkan ketika mangsa masih di PPS. Kita tahu ada antaranya memerlukan bantuan kewangan, jadi kerajaan merasakan perlu untuk segerakan,” jelasnya.

Ditanya tentang kemungkinan mangsa banjir berulang boleh menerima BWI, beliau berkata, setiap mangsa banjir boleh menerima BWI jika terbabit dengan bencana banjir selepas tiga bulan menerima bantuan kali pertama.

“Ini diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan mereka boleh dapat BWI jika terkena banjir lagi, tapi dalam jarak masa tiga bulan,” katanya.

Sehingga kini, katanya, seramai kira-kira 47,000 daripada mangsa banjir gelombang pertama sudah menerima BWI mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI