fbpx
Fadhlina di Dewan Negara hari ini. Foto kredit JAPEN

260 bilik darjah AI menjelang 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan inisiatif AI Powered Classroom atau Bilik Darjah Dikuasai Kecerdasan Buatan (AI) dengan projek rintis melibatkan 27 sekolah serta akan diperluaskan kepada 260 sekolah pada tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif yang diperkenalkan itu dilaksanakan secara berfasa dan berperingkat dengan menjelang tahun 2030, kesemua sekolah dilengkapi Bilik Darjah Dikuasai AI.

“Inisiatif ini bertujuan memperkasa murid melalui pembelajaran adaptif dan menyokong guru melalui automasi tugasan serta analitik pembelajaran. Usaha ini bagi mengintegrasikan AI dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Di peringkat KPM, kita komited untuk memastikan setiap murid, tanpa mengira lokasi mendapat akses kepada pendidikan digital yang berkualiti.

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pendidikan, tetapi juga mempersiapkan generasi masa depan untuk menghadapi cabaran dunia digital,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, KPM memperkenalkan Pelan Transformasi ICT bagi tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, seterusnya pada November 2023 pula memperkenalkan Dasar Pendidikan Digital sebagai panduan kepada semua pihak bagi menepani era digital.

“Kita membangunkan Pelan Strategik Pendidikan KPM bagi tempoh 2026 hingga 2030. KPM terus memperkukuh pendidikan digital iaitu penyediaan peranti ICT, penambahbaikan capaian internet dan keluasan kemudahan secara berperingkat di semua sekolah, kawasan luar bandar dan pendalaman.

“Semua sekolah ini dilengkapi akses internet menggunakan broadband 30 Mbps, fiber 300-800 Mbps atau satelit 100 Mbps bergantung kepada teknologi yang sesuai dengan faktor geografi dan lokaliti,” katanya.

Fadhlina berkata, sekolah turut diperkasa dengan kemudahan seperti ‘smartboard’, ‘smart TV’, komputer riba dan makmal komputer melalui projek rintis kelas hybrid pada tahun 2021 melibatkan 550 kelas di 110 sekolah terpilih.

“Kini kelas hybrid dinamakan semula sebagai kelas pintar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 RP5 dengan peluasan kepada 2,000 kelas di 400 institusi bermula suku keempat 2026 bertakluk kepada keluasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI