SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang pesara polis berpangkat sarjan mejar daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan terhadap tertuduh, Aminuddin Amir, 66.
Dalam penghakiman di akhir kes pembelaan, Ahmad Shahrir memaklumkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa pondok dan kotak yang mengandungi dadah berkenaan berada di bawah jagaan eksklusif serta kawalan tertuduh.
Beliau berkata, lokasi pondok tempat dadah itu ditemui boleh diakses oleh orang lain, malah tiada sebarang kesan cap jari tertuduh dikesan pada dadah yang dirampas.
Selain itu, mahkamah turut mendapati pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh melakukan apa-apa perbuatan terhadap kotak berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Aminuddin didakwa mengedar kanabis seberat 573.6 gram di sebuah pondok di belakang rumahnya di Batu Kikir, Jempol pada 14 September 2022. – KOSMO! ONLINE














