GUA MUSANG – Seramai 1,093 penduduk Orang Asli daripada 278 keluarga di lima buah penempatan di sini terkandas apabila air Sungai Linggi melimpah ke kawasan jalan perhubungan ke kampung tersebut sejak Ahad lalu.
Kampung yang terlibat ialah Kampung Kuala Koh, Kampung Aring 5, Kampung Bering Lama, Kampung Pasir Linggi dan Kampung Machang, Pos Lebir.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Mohd. Faedyzal Mohamed berkata, penduduk kampung terlibat hanya terkandas di penempatan selepas jalan perhubungan dilimpahi air sungai dan tidak melibatkan perpindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Buat masa ini, kawasan yang terjejas melibatkan lima kampung Orang Asli suku kaum Temiar, Bateq dan Mendriq.
“Justeru, penduduk Orang Asli yang terjejas perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya selepas meninjau paras air Sungai Linggi di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Lebir, Jamlus Musa berkata, kira-kira 20 pelajar sekolah terpaksa menggunakan perahu untuk menyeberangi limpahan air banjir untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi sejak Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE














