fbpx
ANGIE perlu mengekalkan prestasinya yang konsisten untuk membutirkan pingat emas Sukan SEA 2025. - FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Ratu muay thai hampiri emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Ratu muay thai negara, Angie Yan Jia Chi membuktikan dia sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila melangkah bergaya ke pentas final acara wai kru Sukan SEA 2025.

Beraksi di gelanggang keramat Stadium Tinju Lumpinee, ‘sumandak Sabah’ berusia 21 tahun itu mempamerkan gerakan penuh disiplin dan berjaya menambat lima juri antarabangsa untuk merekodkan markah tertinggi 9.30 mata.

Kutipan mata tersebut meletakkan Angie di kedudukan teratas pada aksi separuh akhir itu dengan mengatasi pencabar utama dari Thailand, Thanawan Thongduang yang berpuas hati di tempat kedua dengan 9.20 mata.

Kejayaan itu menyaksikan Angie menempah pertemuan di pentas akhir hari ini menentang Thanawan yang bukan sahaja rakan seperguruannya, malah memegang status juara dunia kategori senior.

Pengurus pasukan, Saifulnizam Mohd. Shahar berkata, kem negara meletakkan sandaran emas kepada Angie berdasarkan prestasi konsisten ditampilkan juara remaja dunia itu sejak pusingan awal.

“Saya optimis jika tiada perkara luar biasa berlaku dan Angie kekal positif serta tidak gementar, kita boleh capai matlamat itu walaupun beraksi di tanah tumpahnya sukan ini.

“Ini pertembungan juara dunia menentang juara dunia. Siapa yang kurang melakukan kesilapan dan bijak mengawal darah gemuruh, dia akan menang,” jelasnya.

Dua lagi pesaing iaitu Islay Erika Bomogao dari Filipina (9.10 mata) dan wakil Indonesia, Junetha Melva Christia (9.00 mata) gagal meneruskan kemaraan dan berkongsi pingat gangsa.

Sebagai rekod, Angie adalah pemenang tiga pingat emas Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (B23) anjuran Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) pada edisi Thailand 2023, Greece 2024 dan Turkiye 2025.

Angie turut merangkul pingat emas solo wanita wai kru pada Kejohanan Asia IFMA di Wilayah Thai Nguyen, Vietnam tahun ini.

Angie turut mencipta sejarah di Sukan Malaysia (Sukma) apabila meraih emas kategori Mai Muay duo di Kuala Lumpur 2022 dan seterusnya pada Sukma Sarawak 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN