BANGKOK – Ratu muay thai negara, Yan Jia Chi mencipta kejutan apabila menumpaskan juara dunia dari Thailand, Thongduang Thanawan untuk merangkul pingat emas acara wai kru di Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.
Kemenangan itu lebih manis apabila ia dilakar di gelanggang keramat, Stadium Lumpinee, menyaksikan Jia Chi atau lebih mesra disapa Angie mempamerkan gerak tari memukau untuk menambat hati lima juri.
Angie mengutip mata tertinggi 9.33, mengetepikan Thanawan yang sekadar berpuas hati dengan 9.20 mata, sekali gus mengecewakan penyokong tuan rumah.
Jelas Angie, kejayaan menewaskan wakil tuan rumah itu menjadikan pengorbanannya ‘berkampung’ selama setahun di Thailand tanpa pulang ke tanah air sebagai sangat berbaloi.
“Saya tidak balik ke Malaysia selama setahun, cuma dalam tempoh itu ada keluar menyertai kejohanan sebelum Sukan SEA kali ini. Jadi, saya anggap kejayaan ini sangat berbaloi untuk segala penat lelah saya.
“Di final, perbezaan antara saya dengan lawan mungkin terletak pada kekuatan yang saya miliki. Persaingan sebenarnya sangat sengit kerana kami berdua berlatih di pusat latihan yang sama di Thailand,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi.
Sebagai rekod, Angie mempunyai reputasi hebat di pentas antarabangsa apabila memegang gelaran juara dunia sebanyak tiga kali dalam Kejohanan Dunia Bawah 23 Tahun (U23) anjuran Persekutuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) pada 2023 di Thailand, 2024 (Greece) dan 2025 (Turkiye). -KOSMO! ONLINE














