fbpx
TERTUDUH (tengah) diiringi peguam dan pegawai SPRM ketika keluar dari kamar perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kangar di sini hari ini.

Penolong pegawai APM didakwa salah guna jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Seorang penolong pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis didakwa di mahkamah atas pertuduhan menggunakan jawatan awam bagi mendapatkan suapan melibatkan perolehan perkhidmatan majlis rasmi pada Ogos 2016.

Tertuduh, Mohd Ruhaizul Md Isa @ Mansor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perlis antara 28 hingga 30 Ogos 2016.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pegawai badan awam iaitu Penolong Pegawai Pertahanan Awam didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk kepentingan isterinya dengan meluluskan pesanan kerajaan.

Suapan berkenaan didakwa melibatkan perolehan perkhidmatan makan dan minum bagi Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelancaran CDERT C Peringkat Negeri Perlis.

Pendakwaan menyatakan tertuduh memperakukan baucar bayaran bernombor B0737 atas nama Syarikat Sinar Rizki Barakah Resources yang merupakan milik isterinya dengan jumlah bayaran RM7,350.

Menurut pertuduhan itu, tertuduh didakwa mempunyai kepentingan secara langsung dalam urusan perolehan berkenaan dan perbuatannya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 24 1 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana mana yang lebih tinggi.

Prosiding pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid bersama pegawai pendakwa SPRM negeri, S. Sujatha di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi. Tertuduh pula diwakili peguam, Syed Anuar Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Ahmad Fariz memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000, namun pihak pembelaan merayu agar jaminan dikurangkan antara RM4,000 hingga RM5,000 atas alasan tertuduh menanggung enam orang termasuk isteri, anak serta ibu yang sudah lanjut usia dan uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh sebutan semula pada 11 Januari depan. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN