fbpx
TERTUDUH (baju putih bertopi dan kelabu) diiringi pegawai SPRM ketika di Kompleks Mahkamah Kangar di sini hari ini.

Pengerusi MPKK, rakan didenda RM4,000 perdaya wang sumbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung MPKK bersama seorang rakannya mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan selepas didakwa memperdaya seorang wanita sehingga menyerahkan wang sumbangan berjumlah RM800.

Tertuduh, Azizi Ahamad, 50, dan Syaharizul Sahar, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dua lelaki itu didakwa menipu seorang wanita dengan memperdayakannya mempercayai bahawa sumbangan berjumlah RM300 telah diberikan kepada penduduk Kampung Bakau, sedangkan wang itu digunakan oleh mereka sendiri.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menipu wanita sama dengan memperdayakannya mempercayai bahawa sumbangan berjumlah RM500 telah diberikan kepada penduduk Kampung Bakau, namun wang berkenaan turut digunakan untuk kepentingan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Bakau 4, Kampung Bakau di sini, pada 3 dan 4 September tahun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid bersama Pegawai Pendakwa SPRM negeri, S. Sujatha.

Kedua dua tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Nur Ayuni Ahmad.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap setiap tertuduh bagi kedua dua pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Kedua dua tertuduh membayar denda yang ditetapkan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN