fbpx
MOHAMMAD ZUHDI (kiri) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan 10 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Jun lalu.

Pemandu lori didenda RM4,000 pindah 10 ekor lembu tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Seorang pemandu lori didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan 10 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Jun lalu.

Mohammad Zuhdi Mohammad Noor, 26, juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Mohammad Zuhdi selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Zuhdi didakwa telah memindahkan 10 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan sebuah kedai runcit, Kampung Pahit Luar, Gerik pada pukul 10 malam, 3 Jun 2025.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

Muhammad Firdaus kemudiannya menetapkan hukuman denda RM4,000 kepada tertuduh, gagal bayar dua bulan penjara.

Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan sembilan ekor lembu hidup berjumlah RM9,360 dilucuthak kepada kerajaan manakala lori dan anak kunci kenderaan itu diserahkan kembali kepada pemilik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI