PETALING JAYA – Menara kedua tertinggi dunia Merdeka 118 di Kuala Lumpur melambangkan kemajuan Malaysia yang dibina atas asas keamanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, bangunan tersebut melambangkan kestabilan dan perpaduan rakyat negara ini.
“Sebelum melangkah ke Dewan Negara untuk sesi jawab lisan, Bang Mat (Mohamad) sempat memandang Merdeka 118 dari bangunan Parlimen.
“Bangunan ini melambangkan kemajuan Malaysia yang dibina atas asas keamanan, kestabilan dan perpaduan rakyat berbilang kaum, nikmat yang mesti terus kita pelihara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, kemajuan tidak semata-mata diukur pada bangunan tinggi di bawah kerangka Malaysia Madani.
Menurut beliau, ia turut diukur pada sejauh mana rakyat hidup aman, cukup makan dan tidak tertinggal daripada arus pembangunan.
Justeru, kata beliau, tanggungjawab yang dipikul kerajaan bukan kecil kerana ia menyentuh makanan di meja rakyat, rezeki petani, peladang, penternak dan nelayan serta hala tuju masa depan negara.
“Setiap keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan apa yang rakyat rasakan pada hari esok.
“Kerja membina negara bukan kerja sehari dua. Ia menuntut kesabaran, kejujuran dan keberanian untuk membuat keputusan yang betul walaupun jalannya tidak sentiasa mudah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














