KUALA LUMPUR – Harapan Kuala Lumpur City (KL City) untuk melakar kejutan tidak kesampaian selepas tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan mudah untuk meraih gol pendahuluan menerusi Antonio Glauder pada minit ke-29 sebelum calon pemain naturalisasi, Manuel Hidalgo menggandakan kelebihan seminit kemudian.
Skuad kendalian Xisco Munoz itu mengakhir babak pertama dengan cemerlang selepas Jairo da Silva menambah jaringan pada minit 45 sekali gus memastikan pasukan pelawat hampir pasti membawa pulang tiga mata.
Momentum cemerlang juara Piala FA itu diteruskan selepas Oscar Arribas menambah gol keempat pada minit ke-73 untuk memastikan rekod cemerlang 11 kemenangan berturut-turut dalam kempen Liga Super musim ini.
Keputusan tersebut menyaksikan KL City kekal di tangga kedua dengan 23 mata manakala JDT terus dominan apabila berada di tempat pertama selepas mengutip 33 mata. – KOSMO! ONLINE














