KUALA LUMPUR – Kerajaan mempergiat usaha memperkukuh dasar makanan negara bagi memastikan Malaysia mampu berdepan gangguan global termasuk perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) serta Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025.
“Kita mahu memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, selamat dan mampan walaupun berdepan cabaran global,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, antara langkah utama ialah pelaksanaan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun melibatkan kawasan sehingga 3,000 hektar di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bermula 2024.
“Kita juga memperkasa industri lembu pedaging melalui program pembiakbakaan supaya pengeluaran tempatan dapat ditingkatkan,” ujarnya.
Beliau berkata, sektor akuakultur turut diperkukuh dengan penghasilan benih dan induk yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
“Pada masa sama, teknologi pertanian moden akan terus digalakkan bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran,” katanya.
Mohamad menegaskan, langkah bersepadu itu diyakini mampu mengurangkan kebergantungan kepada import serta menjadikan Malaysia pengeluar makanan yang lebih stabil dan mampan. – KOSMO! ONLINE














