MELAKA – Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar menegaskan kenyataan dibuatnya berhubung kekasih kepada salah seorang daripada tiga penjenayah yang ditembak mati di Durian Tunggal pada 24 November lalu, yang mempunyai rekod jenayah lampau adalah berdasarkan fakta.
Beliau berkata, dakwaan peguam wanita berkenaan yang menyatakan individu itu tidak mempunyai rekod jenayah adalah bercanggah dengan rekod polis yang menunjukkan terdapat 10 tangkapan melibatkan wanita tersebut.
“Memang dia (wanita terbabit) terlibat dengan kes-kes tertentu. Kalau setakat ambil keterangan, dia tak akan masuk dalam rekod jenayah pun, kecuali kalau ada tangkapan memang kita akan masukkan dia dalam rekod jenayah.
“Memang ada 10 rekod tangkapan tetapi setiap tangkapan itu tidak semestinya berakhir dengan pertuduhan. Kalau dia rasa kenyataan saya itu salah atau sekadar untuk mengganggu siasatan dan sebagainya dia boleh saman saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Jelasnya, beliau terpanggil untuk menjelaskan perkara itu memandangkan isu berkenaan tular di media sosial dan menjadi tanggungjawab polis untuk memperbetulkan maklumat yang mengelirukan orang ramai.
“Tidak pastilah sama ada peguam tak tahu atau buat-buat tak tahu. Kalau benda ini tak ada fakta, kita tak akan keluarkan kenyataan.
“Jangan sekadar nak kata saja. Jangan cuba untuk mengelirukan masyarakat mengatakan perkara yang bercanggah. Itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, pada 13 Disember lalu, Dzulkhairi mendedahkan salah seorang wanita yang menuntut siasatan terhadap tiga penjenayah ditembak mati di Durian Tunggal bukanlah isteri si mati tetapi hanyalah kekasih dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan cubaan membunuh.
Tambahnya, bapa kepada wanita berkenaan pula merupakan individu dikehendaki polis dengan 24 rekod kesalahan pelbagai jenayah termasuk bunuh, selain pernah dijatuhi hukuman.
Susulan itu, media melaporkan peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki berkenaan, Rajesh Nagaraja menegaskan bahawa status perkahwinan atau rekod jenayah lampau individu yang dikaitkan dengan kes itu tidak relevan dengan kejadian berkenaan.
Rajesh mendakwa kenyataan dibuat Dzulkhairi mengganggu siasatan Bukit Aman berhubung kes itu serta menafikan wanita dimaksudkan mempunyai 10 rekod kesalahan lampau.
Ujarnya, seseorang hanya akan mempunyai rekod jenayah jika didakwa dan didapati bersalah di mahkamah, di mana hal sedemikian tidak berlaku ke atas wanita berkenaan.-KOSMO! ONLINE














