TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan dana sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) bagi membantu meringankan rakyat yang terjejas banjir di Kelantan.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan PJRM merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memastikan penduduk terjejas banjir terus mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Menurutnya, PJRM menawarkan barangan keperluan asas pada harga mampu milik yang melibatkan penjimatan sehingga 30 peratus berbanding dengan harga pasaran.
“KPDN Kelantan juga mempertingkatkan pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan di kawasan terjejas banjir khususnya di lokasi yang berisiko terputus hubungan akibat limpahan air bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dan mudah diperoleh penduduk.
“Kita juga menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menggerakkan inisiatif Jualan Rahmah di beberapa lokasi berhampiran pusat pemindahan sementara (PPS) tertakluk kepada keperluan semasa dan keadaan banjir,” katanya pada sidang media Sempena Walkabout PJRM Monsun di Kampung Neting di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah memberitahu, KPDN turut mengadakan PJRM kembali ke sekolah di 43 premis bermula 18 Disember hingga 10 Januari dan juga secara bergerak.
Katanya, KPDN akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan kebajikan rakyat melalui penyediaan bekalan barangan keperluan asas mencukupi, mudah akses dan berpatutan sepanjang tempoh bencana. – KOSMO! ONLINE














