PUTRAJAYA- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan mahu membawa imej Islam yang bersifat rahmah, inklusif, damai dan sederhana menerusi kepimpinan beliau dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Zulkifli berkata, selain itu, kepimpinan beliau sebagai Menteri Agama juga mahu meraikan kepelbagaian umat manusia seiring aspirasi pembangunan negara yang berkemajuan.
“Islam yang kita mahu tonjolkan adalah Islam yang rahmah, membawa kerahmatan bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada semua ‘lil ‘alamin’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ‘clock in’ di Kompleks Islam Putrajaya di sini tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitipkan pesan agar amanah dipikul dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan negara.
“Hal ehwal agama mempunyai peranan yang sangat signifikan dalam masyarakat serta pembangunan negara, justeru pendekatan yang dibawa perlu bersifat menyeluruh dan menyatukan,” katanya.
Mengulas mengenai industri halal, Zulkifli berkata, Malaysia berada pada landasan kukuh apabila diiktiraf sebagai antara negara terbaik di dunia termasuk pengiktirafan terhadap lebih 92 badan halal antarabangsa dari 47 negara.
“Namun kita sudah mempunyai pelan rangka yang jelas untuk memastikan Malaysia terus ke hadapan dan kekal sebagai peneraju industri halal di peringkat global,” katanya.
Semalam, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar digugurkan daripada senarai Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan yang mana portfolio itu digantikan dengan Zulkifli yang dinaikkan jawatan penuh. – KOSMO! ONLINE














