PETALING JAYA – Pasangan selebriti dan usahawan terkenal, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, menerusi syarikat mereka Wawa Global Sdn. Bhd. terus menjadi contoh teladan apabila secara konsisten menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta selama tiga tahun berturut-turut demi membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
Perkara itu dikongsikan pada Majlis Iktiraf Muzakki Dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS), hari ini.
Perkara itu sekali gus mencerminkan komitmen tinggi pasangan berkenaan terhadap tanggungjawab sosial dan kewajipan agama, selari dengan kejayaan perniagaan yang diusahakan.
Sumbangan zakat perniagaan itu disalurkan melalui LZS bagi memastikan agihan dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kepada golongan sasaran, termasuk fakir miskin, anak yatim serta individu yang memerlukan sokongan ekonomi berterusan.
Menurut Wawa Zainal, kejayaan dalam perniagaan bukan sekadar diukur melalui keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan rasa syukur dan tanggungjawab untuk berkongsi rezeki.
“Kami percaya setiap rezeki yang Allah kurniakan ada hak orang lain di dalamnya. Zakat bukan hanya satu kewajipan, tetapi juga cara untuk membersihkan harta dan menenangkan hati.
“Jika perniagaan kami berkembang, maka lebih besar tanggungjawab kami untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambah Wawa, konsistensi menunaikan zakat perniagaan adalah prinsip yang sentiasa dipegang sejak awal pembabitan mereka dalam dunia perniagaan.
“Kami bermula dari bawah, jadi kami sangat memahami erti kesusahan. Harapan kami, sumbangan ini dapat memberi manfaat sebenar kepada asnaf dan menjadi asbab keberkatan serta kelangsungan perniagaan kami,” katanya.
Sementara itu, pihak LZS turut merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai contoh terbaik kepada usahawan Muslim untuk menunaikan zakat secara konsisten dan beramanah.
Inisiatif pasangan ini bukan sahaja memberi impak besar kepada golongan memerlukan, malah membuktikan bahawa kejayaan dalam dunia hiburan dan perniagaan mampu berjalan seiring dengan nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial. — KOSMO! ONLINE














