KUALA LUMPUR – Setiap kes kematian tahanan dalam penjara dan lokap akan disiasat secara rapi, telus serta tanpa sebarang tolak ansur, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau pada masa sama menolak persepsi bahawa insiden kematian dalam tahanan melibatkan majoriti satu kaum, sebaliknya menegaskan fakta sebenar menunjukkan gambaran yang berbeza.
Menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali pada Sidang Dewan Negara hari ini, Anwar berkata, statistik sejak penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada 2024 membuktikan dakwaan tersebut tidak berasas.
“Kenyataannya di sebalik fakta, kematian dalam tahanan sejak IPCC ditubuhkan pada 2024 melibatkan 57 kes iaitu Melayu 25 orang, India empat, Cina sembilan, warga asing 15 serta Bumiputera Sabah dan Sarawak empat orang,” katanya.
Menurut beliau, walaupun jumlah kes kematian itu kecil, pemantauan dan akauntabiliti tetap diberi perhatian serius oleh IPCC bagi memastikan setiap kes disiasat secara menyeluruh.
Anwar turut mengakui terdapat kelemahan dalam pasukan penguatkuasaan, namun menyifatkan gambaran negatif yang sering dilemparkan terhadap pasukan keselamatan sebagai tidak adil.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencatatkan pelbagai kejayaan dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
“Tentunya ada beberapa kelemahan yang tidak boleh kita nafikan, tetapi untuk memberi gambaran yang negatif, saya tidak fikir itu adil.
“Terutama terhadap PDRM yang telah menunjukkan keupayaan melalui proses integriti ini serta kejayaan besar dalam membanteras jenayah dan penyeludupan, namun persepsi awam sering berbeza,” katanya.- KOSMO! ONLINE














