PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes tiga lelaki ditembak mati di Durian Tunggal di Melaka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
AGC dalam kenyatannya hari ini berkata, berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, AGC bersetuju
dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
“Penelitian awal AGCmendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa keputusan muktamad dibuat,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung kejadian tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan polis di Durian Tunggal, Melaka, bulan lalu.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu termasuk menyiasat laporan polis yang dibuat ahli keluarga ketiga-tiga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis dalam insiden berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal kejadian pada 24 November lalu telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan oleh JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka sebelum kes itu kini diambil alih Bukit Aman sepenuhnya.
Terdahulu pada 24 November lalu Kosmo! melaporkan, tiga penyamun ditembak mati oleh sepasukan polis selepas menetak seorang anggota polis berpangkat koperal yang cuba menahan kumpulan dikehendaki itu berhampiran ladang sawit di Durian Tunggal.
Kumpulan digelar ‘Geng DT’ itu terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang lagi berusia 29 tahun.
Mereka dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah dan bangunan sejak tahun 2024 dengan kerugian mencecah RM1.3 juta. – KOSMO! ONLINE














