fbpx
Aedy (kanan) bersama kenderaan mewah jenis Maserati yang disita di Depoh JPJ, Kuala Lumpur hari ini.

Tak bayar ‘roadtax’ RM35,760, Lamborghini Huracan kena sita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 78 buah kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk Lamborghini Huracan, Porsche, Audi, BMW dan Mercedes disita kerana gagal mematuhi keperluan asas undang-undang jalan raya menerusi pelaksanaan Ops Luxury 4.0 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semua kenderaan yang dipandu warga tempatan dan warga asing itu ditahan sejak operasi berkenaan dilaksanakan bermula 12 Disember lalu.

Menurut beliau, antara kesalahan utama dikesan ialah ketiadaan LKM dan perlindungan insurans, selain lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen memandu sah (CDL).

Katanya, sebuah Lamborghini Huracan yang mempunyai tunggakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) berjumlah RM35,760 antara kenderaan mewah yang disita hari ini.

“Kesemua kenderaan terlibat kini ditahan di depoh simpanan JPJ untuk siasatan lanjut dan telah disita mengikut Seksyen 64(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan sitaan tertinggi iaitu 36 buah kenderaan, diikuti Terengganu (14) dan Selangor (lapan).

Katanya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya dan tindakan tegas akan terus diambil tanpa mengira status pemilik kenderaan.

Tambahnya, pelaksanaan Ops Luxury secara berkala akan terus diperkukuh sebagai langkah strategik JPJ dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kesejahteraan sektor pengangkutan negara.

“Mana-mana pihak yang melanggar Akta 333, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta akta-akta lain berkaitan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya digalakkan menyalurkan aduan melalui Aplikasi MyJPJ menerusi fungsi e-Aduan atau e-mel ke [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN