fbpx
ATLET gimrama negara kecewa selepas gagal meraih pingat emas dalam acara bola dan gelung di Sukan SEA Thailand 2025 di Gimnasium 5 Universiti Thammasat Kampus Rangsit di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Pingat emas gimrama negara ‘diragut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Rekod pingat emas skuad gimrama negara sejak edisi 2017 gagal dipertahankan apabila kemenangan yang sepatutnya menjadi milik Malaysia didakwa ‘hilang’ biarpun mempamerkan aksi lebih kemas berbanding Thailand yang disahkan sebagai juara.

Pengurus pasukan negara, Afrita Ariany Nasril tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan kualiti pengadilan Sukan SEA Thailand 2025 yang dilihat berat sebelah bagi acara latihan berpasukan (3 bola, 2 gelung) yang menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan keputusan 22.500 mata.

Tegasnya, keputusan itu dianggap tidak masuk akal memandangkan pasukan tuan rumah melakukan kesilapan ketara dalam rutin mereka namun tetap diberikan markah tinggi oleh juri untuk memenangi acara tersebut menerusi keputusan 22.900 mata.

“Secara keseluruhan, saya tidak berpuas hati. Memang ada sedikit kesilapan di pihak kita, tetapi pasukan tidak layak menerima nasib begini. Emas itu ibarat ‘dirompak’ secara terang-terangan.

“Markah yang Thailand terima tidak setimpal dengan persembahan mereka. Malah kita sudah melakukan bantahan rasmi sejurus tamat perlawanan namun tidak diterima dan tiada perubahan markah dilakukan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Keputusan kontroversi itu menyaksikan dominasi Malaysia dalam acara tersebut yang kali terakhir dipertandingkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Biarpun lantang mengkritik keputusan acara bola dan gelung, Afrita tetap bersikap profesional menerima keputusan bagi satu lagi rutin iaitu 5 reben.

“Untuk acara reben, memang ada kesilapan di pihak kami, jadi saya anggap keputusan itu adil. Namun untuk bola dan gelung, kemenangan sepatutnya milik kita,” jelasnya.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Komanwel dua kali, Ng Joe Ee menamatkan kariernya dengan kekecewaan apabila meraih pingat gangsa individu all-around selepas mengumpul keseluruhan 96.890 mata. selepas menamatkan

Atlet berusia 20 tahun itu terpaksa berkongsi pingat gangsa bersama gimnas tuan rumah, Piyada Peeramatukorn, manakala Jasmine Althea Romelo mempersembahkan aksi cemerlang untuk meraih pingat emas dengan 102.180 mata dan Mikayla Yang dari Singapura meraih pingat perak dengan 101.490 mata.

Hasil keputusan tersebut, skuad gimrama negara terlepas sasaran dua pingat emas yang ditetapkan apabila sekadar membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa secara keseluruhan pada temasya kali ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN