fbpx
NATASHA

Sukan SEA: Jelitawan boling intai emas berpasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HASRAT ratu boling negara, Natasha Roslan untuk menghadiahkan emas perseorangan tidak kesampaian, namun pingat perak diraih pada Sukan SEA 2025 tetap menjadi suntikan moral penting buat kem negara menjelang saingan beregu dan berpasukan.

Natasha terpaksa akur kecundang kepada wakil Singapura, Charmaine Chang Yu Qian pada final perseorangan wanita di Blu-O Rhythm & Bowl, Major Cineplex Ratchayothin, sekali gus menghadiahkan perak pertama Malaysia dalam acara tersebut.

Meskipun terlepas emas, Natasha gembira dengan pencapaian itu memandangkan fokus utama pasukan sejak awal adalah acara berpasukan yang bakal menjadi penentu utama pungutan pingat negara.

“Alhamdulillah, pingat individu ini memang saya anggap sebagai satu bonus kerana sasaran utama kami sentiasa acara berpasukan,” kata Natasha yang turut mengakui perak tersebut cukup bermakna buat dirinya.

Pingat berkenaan merupakan pencapaian sulung Natasha dalam kategori perseorangan di Sukan SEA, sekali gus menamatkan penantian peribadi atlet berpengalaman itu.

Dengan saingan perseorangan kini melabuhkan tirai, Natasha menegaskan tumpuannya akan beralih sepenuhnya kepada acara beregu dan berpasukan bermula hari ini.

Dalam saingan lelaki pula, kem boling negara turut menghadiahkan pingat apabila Muhammad Syazirol Shamsudin meraih gangsa perseorangan selepas tewas tipis 210-211 kepada wakil tuan rumah, Buspanikonkul Napat di separuh akhir.

Keputusan itu menyaksikan Syazirol berkongsi gangsa bersama atlet Filipina, San Jose Mark Jesus, sekali gus meletakkan kempen awal boling negara di Sukan SEA 2025 pada landasan positif menjelang acara beregu dan berpasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN